*PERANG SALIB BARU*
Di
abad yang lalu dilaporkan cerita kerakusan serangan barat dan timur
yang mengibarkan bendera salib dan sabit terhadap umat Islam dan tanah
airnya dengan serangan bersenjata yang bertubi-tubi, membunuh manusia
dan menghanguskan buminya.
Khilafah
dijatuhkan sehingga dijajah keseluruhan tanah air Islam, ditakluk atau
dipaksa berada di bawah naungannya. Umat Islam diperhamba dan dibuli
jasad dan akalnya habis-habisan, hasil bumi dan karya ilmunya juga
dirampas.
Tidak memadai
sekadar tanah air umat Islam dipecah selepas dijajah, dibahagikan pula
sesama mereka laksana membahagi pusaka peninggalan ibu bapa dan nenek
moyang mereka.
Umat
Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dibelasah jasadnya,
diadu-dombakan mengikut mazhab dan kebangsaan, dipecah mengikut semangat
bangsa tanpa Islam dan fanatik mazhab tanpa ilmu, diperintah dan dibuli
pemikirannya sehingga cara hidup berkiblatkan ke arah negara penjajah
masing-masing. Akar umbi politik dan ekonomi umat Islam dapat
dipengaruhinya demi kepentingan mereka, sehingga budaya juga
dikacau-bilaukan.
Namun,
mereka gagal memadamkan cahaya Islam dan semangat menentang penjajah,
sehinggalah tanah air umat Islam terpaksa diberikan kemerdekaan. Tetapi
diaturnya supaya tidak boleh diberikan peluang kepada perubahan negara
yang berjenama Islam untuk berdaulat sehingga Islam memerintah, kerana
dibayangi ketakutan dan kebimbangan Islam bangkit kembali memimpin
dengan baik, kerana Islam dipandang sebagai penghalang hawa nafsu jahat
yang menjadi pegangan mereka.
Allah menunaikan janjinya bahawa cahaya Islam tidak mungkin dipadamkan. Firman-Nya:
﴿يُرِيدُونَ
لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ
وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ٨ هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى
وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ
الْمُشْرِكُونَ٩﴾ [الصف: 8-9]
“Mereka
sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (Islam) dengan
mulut-mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya,
sekalipun orang-orang kafir (yang bermusuh itu) tidak suka (akan yang
demikian). (8) Dia lah (Tuhan) yang telah mengutus Rasul-Nya (Nabi
Muhammad S.A.W) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar
(Islam), supaya ia menzahirkan (kebenarannya) dan meninggikannya
mengatasi segala agama (dan ajaran) yang lain. Walaupun orang-orang
musyrik (mengadakan yang lain daripada petunjuk Allah itu) tidak
menyukainya). (9)” (Surah As-Saff: 8-9)
Islam
gagal dihapuskan dan cahaya petunjuknya tidak berjaya dipadamkan,
walaupun dikelirukan dengan berbagai cara dan pendekatan. Namun,
kebenaran Islam terus ternyata dan kebatilan yang lain terus terdedah
dalam segenap aspek dan lapangan kehidupan manusia.
Kedegilan
tidak mahu menerima Islam secara semberono bukannya mencari kebenaran,
menyebabkan mereka terus merancang dan bertindak terhadap Islam setiap
masa dan peluang dengan berbagai cara ketenteraan, politik, ekonomi
sehinggalah cara yang terkini.
Penguasaan
teknologi maklumat meredah langit terbuka menjadikan dunia tanpa
sempadan lagi. Kemajuan media dijadikan senjata baru untuk menyebarkan
fitnah terhadap Islam dan pembawanya. Munculnya Islamofobia sebagai
salah satu daripada perang salib baru, namun kesannya menjadikan ramai
yang ingin tahu berkenaan Islam sebenar secara langsung, menyebabkan
Islam akhirnya diminati ramai dan berlakunya kepesatan perkembangan
Islam di negara musuh yang paling besar.
Seterusnya,
Islam diambil untuk dikelirukan dengan menampalkan label yang dicipta
oleh mereka untuk diselewengkan perjalanannya. Bermula dengan
menjenamakan ideologi dan teori disandarkan kepada Islam.
Caranya
mengambil titik persamaan konsep secara umum tanpa dilihat dasar dan
objektifnya yang berbeza, seperti diperkenalkan konsep Islam baru dengan
menyebut Islam Sekular, Sosialisma Islam, Islam Liberal, Islam
Demokrasi, dibahagikan Islam Politik dan tidak politik, sehinggalah
diadakan mazhab baru dalam Islam seperti Ortodok, Konservatif,
Modenisasi, Reformasi, Moderat sehinggalah Teroris dan ada lagi yang
akan dimunculkan di atas nama ijtihad dalam perkara yang tidak diizinkan
berijtihad.
Namun,
Islam yang murni tetap tidak boleh dikelirukan dan cahayanya yang
menyuluh dapat menembusi topeng yang dipasangnya pada wajah yang sesat
dan zalim itu.
Terkini
pula dilancarkan serangan ekonomi terhadap negara Islam yang dikira
berpotensi menjadi kuasa besar dunia. Turki dan Iran kini dijadikan
sasaran tanpa mengira Sunni dan Syiah kerana sejarah dan kemajuannya,
walaupun diuar-uarkan kononnya untuk membantu Sunni menentang bahaya
Syiah. Bahkan, dicadangkan pembentukan NATO Arab untuk menentang Iran
yang dilabelkan bahaya Syiah. Turki bermazhab Sunni pula dilabelkan
penjajah Uthmaniah.
Dolar
yang menjadi cagaran mata wang antarabangsa dijadikannya senjata,
selain dipermainkan cukai barangan negara yang menjadi sasaran itu.
Tujuannya terkini untuk menjatuhkan Lira Turki dan Tuman Iran, dengan
niat jahat bagi mencetuskan protes rakyat menentang kerajaan kerana
masalah ekonomi seperti inflasi, kos sara hidup, pengangguran dan
lain-lain. Namun banyak negara yang bergantung dengan cagaran dolar akan
menerima akibatnya, menjadikannya senjata makan tuan, apabila banyak
negara yang terkesan, lalu bersimpati kepada Turki dan Iran. Di samping
Rusia, China dan negara lain yang tidak sama dengan Amerika juga
terkesan.
Adapun
negara umat Islam khususnya di kalangan negara Arab yang dicatur
dahulunya ada yang terus dicatur politik, ekonomi dan media berkiblatkan
ke arah ‘White House’. Berbeza dengan kiblat solat ke arah Kaabah dan
Makkah, sehingga Israel dianggap kawan, tetapi negara Islam yang
berjiran dijadikan lawan, walaupun nyata Israel sedang mengganas
terhadap Palestin dan merampas Bait Al-Maqdis. Ada juga yang menjadi
broker untuk membeli rakyat Palestin di atas nama perdamaian.
Ternyata
OIC tidak berfungsi dan hanya bergusi tanpa gigi. Di sini sepatutnya
umat Islam mengambil iktibar supaya mengisi kemerdekaan negara
masing-masing dengan kembali kepada Islam yang sebenarnya dan
mempertahankan jati diri mereka bersama Islam.
Sepatutnya
umat Islam menyedari betapa Allah meletakkan mereka di bumi yang paling
bertuah dalam peta dunia dari sudut kedudukan geografi, demografi,
sumber kekayaan harta dan tenaga manusia penduduknya. Sepatutnya
percayalah kepada firman Allah:
﴿وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ٧﴾ [إبراهيم: 7]
“Dan
(ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu
bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu. Dan demi
sesungguhnya, jika kamu kufur (ingkar) sesungguhnya azab-Ku amatlah
keras” (Surah Ibrahim: 7)
Hendaklah
mengambil petunjuk Islam dan mengambil manfaat daripada sumber manusia
dan hasil bumi sendiri bagi membina kekuatan umat Islam yang banyak
dikurniakan oleh Allah kepada mereka dari segi agama dan kehidupan
dunia. Percayalah, kalau tidak pedulikan Islam boleh kufur aqidahnya dan
tidak memanfaatkan hasil kurniaan Allah pula kufur nikmatnya. Kedua-dua
kufur ini dimurkai Allah.
Al-Marhum
Profesor Najmuddin Arbakan, mantan Perdana Menteri Turki pernah
berusaha menubuhkan G8 (Gabungan Negara Umat Islam) yang terdiri
daripada negara Turki, Malaysia, Mesir, Indonesia, Iran, Pakistan,
Nigeria dan Bangaladesh, bagi merintis dan mewujudkan kerjasama politik,
ekonomi dan lain-lain.
Di
antaranya, mencadangkan Dinar Islam menggantikan Dolar dan Euro bagi
mencapai erti kemerdekaan yang sebenarnya kepada negara Islam. Malangnya
hasrat tidak kesampaian dan terhenti di tengah perjalanan kerana
kecelaruan di kalangan umat Islam sendiri dan dijatuhkan ketua negaranya
tanpa islah, sehingga membawa akibat lebih buruk dan kemungkaran lebih
besar.
Malangnya terus
wujud di kalangan umat Islam, mereka yang boleh dijadikan buah catur
permainan musuh bagi mencetuskan masalah umat bukannya penyelesaian,
menunjukkan perjuangan kemerdekaan kita belum selesai.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 15 Zulhijjah 1439 / 27 Ogos 2018