Kisah benar yang berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W
apabila seorang wanita bertaraf bangsawan disabitkan kesalahan mencuri.
Tanpa apa-apa sebab yang meragukan dia dijatuhkan hukuman Hudud Islam,
yakni dipotong tangannya. Tiba-tiba ada dari kalangan bangsawan merayu
kepada Rasulullah S.A.W supaya tidak dijatuhkan hukuman Hudud kerana dia
seorang bangsawan yang dihormati masyarakat.
Usamah
bin Zaid R.A ditugaskan supaya menyampaikan rayuan itu kepada
Rasulullah S.A.W. Dia ditugaskannya kerana dia cucu angkat kesayangan
dimanjakan oleh Rasulullah S.A.W. Tiba-tiba Baginda S.A.W menunjukkan
kemurkaan atau kemarahan kepada Usamah dengan bersabda:
“Adakah kamu meminta syafaat (tolong membebaskan) dalam perkara hukum Hudud yang telah ditetapkan oleh Allah?”.
Kemudian Rasulullah S.A.W terus ke masjid, bangkit berdiri dan bersabda:
"إنَّمَا
أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمُ
الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ، وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ أَقَامُوا
عَلَيْهِ الحَدَّ، وَأيْمُ اللهِ، لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ
سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا". أخرجه مسلم والنسائي
“Sesungguhnya
telah dibinasakan umat terdahulu daripada kamu, berlakunya apabila
seorang bangsawan dari kalangan mereka melakukan kesalahan mencuri
mereka bebaskan tanpa hukuman. Dan apabila seorang yang lemah dari
kalangan mereka mencuri, lalu mereka jatuhkan hukuman Hudud terhadapnya.
Demi Allah, kalaulah Fatimah binti Muhammad (puteri kesayanganku)
mencuri, nescaya aku hukumnya dengan dipotong tangan”. (Disebut oleh
Muslim dan An-Nasa’ie)
Wanita
yang dihukum itu menginsafkan dirinya sehingga menjadi wanita yang
solehah berkunjung ke rumah Rasulullah S.A.W dan masyarakat yang
menyaksikannya melihat betapa wujudnya keberkatan apabila syariat Allah
dilaksanakan.
Cerita
benar menunjukkan kedaulatan Islam yang adil terhadap semua dan
kehebatan undang-undang Syariat Allah mendidik masyarakat sehingga tiada
yang kebal atau dikecualikan. Sesiapa sahaja yang terbukti melakukan
kesalahan pasti dihukum. Kalau tiada bukti dibebaskan atau tidak
mencukupi buktinya pasti diringankan hukumannya.
Inilah
konsep ketelusan undang-undang syariat yang berteraskan aqidah
kepercayaan kepada Allah Yang Maha Berkuasa, Maha Adil Lagi Maha
Bijaksana, disertakan beriman kepada Hari Akhirat, menjadikan tiada
sesiapa mengatasi undang-undang sehingga dikecualikan dan dilangkah
sahaja tanpa halangan atau undang-undang laksana sarang labah-labah yang
dibolosi oleh makhluk perosak yang besar dan kuat. Hanya memerangkap
makhluk perosak serangga kecil. Namun, boleh ditembusi makhluk perosak
yang bersaiz besar dan kuat, apatah lagi helang yang besar atau jerung
yang ganas.
Itulah
contoh konsep zaman keemasan Islam, diwarisi petunjuknya era Khulafa
Ar-Rasyidin dan selepasnya juga yang mengikut jejak langkah kepimpinan
melalui teladan yang pernah dijadikan slogan pada zaman dahulunya, yang
dilupakan oleh Melayu mudah lupa. Namun, Allah berfirman:
لَّقَدْ
كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو
اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا (سورة الأحزاب:
21)
“Demi sesungguhnya,
adalah bagi kamu pada diri Rasulullah S.A.W itu contoh ikutan yang baik
menjadi teladan. Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan)
Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan
mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. (Surah
Al-Ahzab: 21)
Inilah
Rasulullah S.A.W yang dilantik Allah, mengatasi raja-raja yang
ditabalkan oleh manusia, perlantikan Presiden atau Perdana Menteri dan
Ketua Menteri yang dipilih rakyat. Bahkan jauh sekali kalau hanya
sekadar Peguam Negara.
Zaman
mutakhir sejarah Islam memerintah direkodkan peristiwa perundangan
Islam dengan contoh yang sangat banyak. Antaranya kisah Khalifah Umar
bin Al-Khattab R.A yang mengaku salah apabila ditegur oleh seorang
wanita. Khalifah Ali bin Abi Talib R.A yang kalah di mahkamah dalam
kisah baju rantainya dicuri oleh seorang bukan Islam. Sultan Muhammad
Al-Fateh dijatuhkan hukuman oleh hakim pada zamannya kerana melakukan
kekerasan terhadap seorang rakyat bukan Islam.
Saya
pernah membaca kisah Sultan Hamengkubuwono, Raja Jogjakarta Indonesia,
satu-satunya Sultan yang diiktiraf terus bertakhta di situ dalam Negara
Republik kerana akhlaknya yang mulia dan sangat dihormati rakyat.
Ceritanya,
Baginda telah melakukan kesalahan trafik, lalu diberi surat saman oleh
seorang anggota polis yang baru bertugas yang tidak mengenalinya.
Tiba-tiba Baginda datang ke Balai Polis untuk membayar samannya. Ketua
Balai terkejut kerana Sultan yang datang membayar dendanya. Tiba-tiba
pula Baginda meminta supaya polis yang bertindak menyamannya dipanggil.
Maka alangkah takutnya polis yang baru mendapat kerja apabila diketahui
orang yang disamannya adalah Sultan. Fikirnya sudah tentu dia akan
dipecat. Tiba-tiba Sultan meminta supaya dinaikkan pangkatnya.
Apa
yang dilakukan adalah kesan ajaran Islam yang mewujudkan aspek rohani,
menjadikannya masih tersemat di dalam dirinya, walaupun ciri kedaulatan
negara Islamnya dihapuskan. Tegasnya masih percaya ada dosa dan pahala
daripada semua tingkah laku manusia. Mereka yang tidak beriman dan
budiman, tiada rasa takut kepada Allah serta tidak percayakan dosa dan
pahala, hilang juga rasa malunya sesama manusia.
Bandingkan
kisah tersebut dengan berita terkini yang mengejutkan SPRM, Perdana
Menteri juga terkejut dan mengejutkan mereka yang bukan SPRM apabila
seorang yang kini bertaraf menteri dihentikan proses kehakimannya
laksana emergency brake yang ditekan segera sehingga menghantukkan
kepala penumpangnya. Kalau sebelumnya dia cepat dihukum kerana tarafnya
pembangkang, tetapi kini cepat pula dibebaskan kerana dia bertaraf
menteri dalam kerajaan.
Namun,
kita tetap berpegang kepada konsep Islam bahawa seseorang yang dituduh
tidak boleh dihukum salah selagi tidak dibuktikan. Tetapi tidak harus
dilepaskan dengan percuma tanpa proses kehakiman yang diselesaikan
dengan adil dan telus.
Bagi penganut Islam, kami diajar oleh Rasulullah S.A.W dengan pesanan yang banyak. Antaranya:
مَنْ وَلِيَ الْقَضَاءَ فَقَدْ ذُبِحَ بِغَيْرِ سِكِّينٍ (رواه أبي داود)
“Sesiapa yang mengendalikan urusan kehakiman, maka dia laksana disembelih tanpa pisau”. (Riwayat Abi Daud)
Walaupun
orang itu seorang bukan Islam yang tidak percayakan dosa dan pahala,
namun mereka yang Islam telah memilihnya serta mengangkatnya ke jawatan
itu sudah tentu percaya adanya dosa dan pahala atau sekurang-kurangnya
ada rasa malu kepada manusia. Sekalipun tiada perasaan malu kepada Allah
dan para malaikat yang tidak dapat dilihat.
Oleh
kerana banyak yang terkejut atau mengejutkan dalam peristiwa kehakiman
negara ini, maka saya menyokong cadangan yang menamakan bulan ini Bulan
Terkejut.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 25 Zulhijjah 1439 / 6 September 2018
