*BENCANA BERITA PALSU*
Firman Allah:
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا
أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ
نَادِمِينَ (6)
“Wahai
orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa
sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya
kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini -
dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu
menyesali apa yang kamu telah lakukan" (Surah Al-Hujurat: 6)
Sabda Rasulullah S.A.W:
إنَّ
الصِّدقَ يَهْدِي إِلَى البرِّ، وإنَّ البر يَهدِي إِلَى الجَنَّةِ، وإنَّ
الرَّجُلَ لَيَصدُقُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ صِدِّيقًا. وَإِنَّ
الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهدِي إِلَى
النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكتَبَ عِنْدَ الله
كَذَّابًا. (مُتَّفَقٌ عَلَيهِ)
“Sesungguhnya
benar itu menunjukkan kepada kerja amal kebajikan, dan kerja amal
kebajikan itu menunjukkan ke arah Syurga. Seseorang yang bersifat benar
itu mendapat kelebihan sehingga ditulis di sisi Allah dia seorang yang
bersifat benar. Dan sesungguhnya bohong menunjukkan kepada kejahatan,
dan kerja kejahatan itu menunjuk ke arah Neraka. Seseorang yang bersifat
bohong itu ditulis di sisi Allah dia seorang pembohong” (Muttafaqun
‘Alaih)
Sebab diwahyukan
firman Allah yang tersebut, apabila seorang daripada kalangan sahabat
mencipta berita bohong terhadap qabilah yang telah Islam, dikatakan
bertindak jahat dan tidak mahu mengeluarkan zakat yang menjadi rukun
Islam terhadap mereka yang kaya, sehingga Rasulullah S.A.W mengutuskan
pasukan tentera untuk bertindak. Tiba-tiba pasukan tentera itu mendengar
suara azan menandakan mereka tetap menganut Islam. Seterusnya mereka
menghantar pemimpinnya menemui Rasulullah S.A.W, lalu diwahyukan ayat
tersebut kepada Rasulullah S.A.W menegaskan betapa sifat bohong
menjadikan seseorang itu fasik (jahat).
Sifat
fasik menghilangkan kelayakan menjadi wali yang memimpin keluarga dan
masyarakat dan juga tidak layak menjadi saksi di mahkamah yang
mewajibkan sifat adil, kerana sifat fasik membatalkan sifat adil pada
seseorang.
Hadis pula
menafsirkannya lebih jauh dan mendalam, apabila menjadikan sifat benar
jalan ke Syurga dan bohong pula menjadi jalan ke Neraka. Maka benar
menjadi sifat wajib bagi para Rasul A.S, sifat yang dikasihi Allah dan
melayakkan menjadi teladan kepada manusia.
Benar
adalah sifat baik, menunjukkan kemuliaannya, sehingga seseorang Rasul
itu mustahil berbohong. Sifat bohong dikira sifat jahat yang dimurkai
Allah terhadap sesiapa yang menjadikannya sifat bagi dirinya.
Dalam
hadis yang lain, Rasulullah S.A.W menegaskan bahawa sifat bohong adalah
salah satu daripada sifat seorang munafik yang membuahkan pula
sifat-sifat keji yang lain. Sabdanya:
آيةُ
المُنافقِ ثلاثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعدَ أخْلَفَ، وَإِذَا
اؤْتُمِنَ خَانَ. (مُتَّفَقٌ عَلَيهِ). وفي رواية: «وَإِنْ صَامَ وَصَلَّى
وَزَعَمَ أنَّهُ مُسْلِم. وفي رواية: إذا خاصم فاجر
“Tanda
seorang munafik itu tiga: Apabila dia bercakap bohong, apabila berjanji
dia mungkir (tidak menunaikannya), apabila diberi amanah dia khianat.
Mengikut riwayat yang lain: Sekalipun dia berpuasa dan bersolat.
Mengikut riwayat yang lain ditambah pula dengan sifat: Apabila dia
bertengkar atau berdebat sifatnya jahat (tidak beradab seperti tidak
mahu menerima kebenaran lawannya dan lain lain”
Rasulullah
S.A.W menegaskan juga bahawa sifat bohong menjadi salah satu bencana di
akhir zaman, apabila pembohong orang yang dihormati, kerja bijaknya
berbohong dan selepasnya berlaku krisis nilai jati diri yang luhur.
Sabdanya:
سَيَأْتِي عَلَى
النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ،
وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ،
وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ . (سنن
ابن ماجه).
“Akan tiba
(masanya) manusia menghadapi tahun-tahun yang banyak menipu, di mana
dianggap benar orang yang bohong, dibohongi orang yang benar. Diberi
amanah kepada pengkhianat, dikhianati orang yang amanah. Orang yang
jahil (buta agama) bercakap perkara yang besar” (Sunan Ibnu Majah)
Rasulullah
S.A.W ditunjukkan oleh Allah tentang keburukan berlaku di akhir zaman
apabila meluasnya penyebar berita bohong yang menjadi tanda hampirnya
bencana besar yang akan menimpa manusia dan alam seluruhnya supaya
umatnya berwaspada, kerana dosa besar yang menyebabkan diseksa di Alam
Barzakh selepas kematian dan seterusnya di Alam Hari Kiamat yang lebih
besar seksanya. Sabda Baginda S.A.W dalam hadis yang panjang apabila
dibawa melawat ke Alam Barzakh:
وأمَّا
الرَّجُلُ الَّذِي أتَيتَ عَليْهِ يُشرْشرُ شِدْقُه إِلَى قَفاهُ،
ومَنْخِرُه إِلَى قَفاهُ، وعَيْنهُ إِلَى قفاهُ، فإنَّهُ الرَّجُلُ يَغْدو
مِنْ بَيْتِه فَيكذبُ الكذبةَ تبلُغُ الآفاقَ (البخاري).
“(Berkatalah
malaikat) yang membawa Rasulullah S.A.W (dalam mimpi yang benar dibawa
melawat ke Alam Barzakh dan Akhirat): Adapun orang yang engkau lihat
disangkut pipinya dengan penyangkut besi sehingga menembusi ke belakang
lehernya, disangkut hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan
disangkut matanya sehingga menembusi ke belakang lehernya, ialah orang
yang kegiatannya sejak pagi setiap hari menyebarkan pembohongan sehingga
ke seluruh ufuk dunia” (Hadis Riwayat Bukhari)
Kini
kita menyaksikan media cangkih langit terbuka tanpa sempadan yang dapat
menyebarkan berita bohong ke seluruh pelosok dunia dengan mudah dan
canggih menggunakan mulut dan hujung jari, melalui lisan dan tulisan.
Inilah perkara akhir zaman yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah
S.A.W masih hidup di alam dunia. Menunjukkan tanda Kerasulannya yang
benar apabila berlakunya pada zaman kini bersama media sosial yang
canggih dihujung lidah dan jari itu.
Hanya
mereka yang beriman adanya perkara yang ghaib yang tidak terfikir oleh
akalnya percaya kepada amaran tersebut. Lalu beristighfar dan bertaubat
kepada Allah dan meminta maaf kepada manusia yang difitnahkan dengan
cerita bohong. Adapun yang tidak beriman kepada Allah, Rasul dan adanya
Hari Pembalasan di Alam Kubur dan Akhirat, terus bergelumang dengan
sifat yang buruk dan terus berdusta.
Islam
menggalakkan tidak menyebarkan kesalahan orang walaupun terhadap orang
yang benar bersalah, kerana menggalakkan bertaubat dan meminta maaf.
Maka Islam membawa konsep orang yang dituduh janganlah dihukum sudah
bersalah sehingga dibuktikan oleh badan kehakiman yang bersifat adil dan
telus. Sabda Rasulullah S.A.W:
ومَنْ سَتَرَ مُسْلماً سَتَرَهُ اللَّهُ يَومَ الْقِيامَةِ "(مُتَّفَقٌ عَلَيهِ)
“Dan sesiapa yang menutup keaiban seorang saudara Islamnya nescaya Allah menutup keaibannya di Hari Akhirat” (Muttafaqun ‘Alaih)
Adapun
sekiranya dibawa menjadi saksi di mahkamah, maka wajib mendedahkan
dengan benar dengan kadar yang patut, demi melaksanakan hukuman yang
adil. Islam menghukum dosa besar terhadap orang yang bohong apabila
diminta menjadi saksi yang adil dalam mahkamah, bukannya disebarkan
dengan meluas.
Islam
menetapkan supaya melihat peribadi seseorang yang dikenali secara
mendalam meriwayatkan setiap perkara, khususnya berkenaan Islam, seperti
Bacaan dan Tafsir Al-Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W serta hukum
hakamnya. Sehingga dianggap lemah apa-apa riwayat daripada seorang yang
tidak diketahui sifat peribadinya atau tidak dikenali dirinya secara
menyeluruh atau seorang yang tidak menjaga maruah dirinya dalam perkara
besar dan terpenting.
Islam
juga mengutamakan riwayat Mutawatir (maklumat benar daripada beberapa
orang-orang yang bersifat benar yang ramai jumlahnya) dan dikemudiankan
riwayat Ahad (maklumat daripada seorang sahaja walaupun benar).
Allah memberi amaran akibat amalan yang buruk dibalas di Alam Dunia sebelum Akhirat dengan firman-Nya:
ظَهَرَ
الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ
لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (41)
“Telah
zahir (timbul) berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut
dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia;
(timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka
sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah
lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Rum:
41)
Allah memberitahu pembicaraan pada Hari Akhirat nanti, di mana seseorang itu tidak boleh berbohong lagi. Firman Allah:
الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰ أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ (65)
“Pada
waktu itu (Mahkamah Allah di Hari Akhirat nanti) Kami meterikan
(mengunci) mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada)
tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan
kaki-kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah
usahakan.” (Surah Yaasin: 65)
Di
mana Allah tidak menghukum dengan Sifat Maha Mengetahui-Nya sahaja,
tetapi disertakan dengan saksi dan buktinya, serta mendahulukan
pengampunan dan rahmat-Nya daripada hukuman terhadap orang beriman yang
bertaubat.
Akhirnya,
lakukan muhasabah terhadap diri masing-masing, berfikir dengan akal
waras yang berpandukan prinsip iman dan konsep taqwa. Bukan akal yang
tidak beriman dan budiman berpandukan selera dan isi perut, yang
berakhir dengan menjadi lebih hina daripada isi perutnya.
Ambillah
pengajaran daripada orang yang beriman dan budiman bersama Islamnya,
bukan daripada yang kafir dan fasik. Hanya yang beriman sahaja akhirnya
ke Syurga walaupun dia fasik. Adapun yang kafir tetap ke Neraka walaupun
dia baik, kerana Iman dan Islam menjadi asas diterima Allah segala
amalan dan hidayah yang dibuka pintu rahmat, taubat, istighfar dan
diterima amal solehnya, kerana inilah janji Allah. Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ (119)
“Wahai
orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah
kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.” (Surah At-Taubah: 119)
Firman Allah:
إِنَّ
الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَاسْتَكْبَرُوا عَنْهَا لَا تُفَتَّحُ
لَهُمْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَلَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّىٰ يَلِجَ
الْجَمَلُ فِي سَمِّ الْخِيَاطِ ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُجْرِمِينَ (40)
“Sesungguhnya
orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh
(merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan
dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk
syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas
orang-orang yang melakukan kesalahan (kufur).” (Surah Al-Aaraf: 40)
Biarkan
kalangan yang terpengaruh dengan politik sekular yang berpegang kepada
pendekatan barat, tanpa peduli dosa dan pahala berpandukan falsafahnya:
“The end justifies the means” (Matlamat menghalalkan cara)
Ingatlah Firman Allah:
وَلَا
تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ
وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا (36)
“Dan
janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan
mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua
anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”
(Surah Al-Isra’: 36)
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 8 Syawal 1439 / 22 Jun 2018